
AYER KEROH: Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2025 yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) bermula hari ini hingga 13 Jun menjadi platform golongan graduan dan pekerja berpengalaman menjana pendapatan lebih baik.
Salah seorang pengunjung yang ditemui Ceritera, Muhammad Aminudin Zambri, 35, berkata dia merebut peluang itu bagi memantapkan skil pekerjaan selain meningkatkan pendapatan berbekalkan pengalaman bekerja sebagai juruteknik.
“Saya ambil peluang karnival kerjaya ini untuk mencari pekerjaan lebih baik bagi meningkatkan pendapatan bulanan.
“Selain itu, saya juga berharap dapat menimba pengalaman baharu di syarikat lain sekiranya ada rezeki.

Muhammad Aminudin berkata, penganjuran karnival kerjaya di Melaka tidak boleh dilepaskan kerana lebih banyak diadakan di Lembah Klang.
Ujarnya lagi, ia secara tidak langsung memberi para pengunjung lebih banyak ruang meneroka pelbagai reruai syarikat yang menawarkan kerja kosong lebih-lebih lagi dalam bidang TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).
Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2025 yang dianjurkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menawarkan 5,000 peluang pekerjaan dalam bidang TVET.
Karnival berkenaan diadakan sempena sambutan Hari TVET Negara 2025 bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

Bagi pembantu klinik, Noridah Zahari, 25, pula, dia ingin ‘tukar angin’ melibatkan diri dalam bidang kerja TVET yang lebih membuka banyak peluang melakukan kerja lebih masa.
Menurutnya, dia perlu mencari peluang pekerjaan meraih pendapatan lebih selesa berikutan kos sara hidup semakin meningkat.
“Bukan tidak seronok bekerja sebagai pembantu klinik tetapi saya ingin ‘tukar angin’ cuba bidang lain pula.
“Saya mendapati pekerjaan dalam bidang TVET terutama industri pembuatan banyak menawarkan kerja lebih masa dan secara tidak langsung ia boleh meningkatkan pendapatan bulanan saya,” katanya.
Noridah berharap pintu rezeki menyebelahi dirinya walaupun berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, ia kerana syarikat-syarikat dan agensi-agensi terlibat dalam karnival berkenaan memberi peluang sama rata kepada para pengunjung.

Felicia Tee Jia Xuan, 20 yang bakal memulakan latihan industri pada bulan hadapan mengambil inisiatif mencari syarikat menawarkan tempat menimba pengalaman kerja.
Pelajar semester lima Diploma Sains Komputer, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu berkata, dia sudah menghantar kira-kira 20 resume kepada majikan berpotensi.
“Rata-rata syarikat turut menawarkan elaun dalam lingkungan RM500 hingga RM800. Bagi saya, ia sudah memadai kerana pengalaman menimba ilmu dalam alam pekerjaan lebih penting sebaik tamat pengajian,” katanya.
Hari TVET Negara yang disambut pada 2 Jun setiap tahun merupakan manifestasi komitmen kerajaan untuk menjadikan bidang TVET sebagai platform utama dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang dinamik, berkemahiran dan berdaya saing.




