
AYER KEROH: Karnival Kerjaya MyFutureJobs sempena Hari TVET Negara 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan.
Program selama tiga hari bermula hari ini hingga 13 Jun merupakan anjuran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melibatkan 50 syarikat serta agensi swasta.
Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO merangkap Ketua Bahagian Promosi Karnival Kerjaya MyFutureJobs, Ainsyah Abu Bakar berkata program berkenaan memberi tumpuan kepada peluang pekerjaan dalam bidang TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).

Menurutnya, graduan baharu dan pekerja berpengalaman bidang TVET merupakan antara golongan yang ‘dikejar’ dalam pasaran kerja masa kini terutama bidang pembuatan serta perkilangan.
“Menerusi karnival ini, kami mengadakan sesi temu duga secara terbuka melibatkan pelbagai syarikat di negeri Melaka termasuk luar Melaka yang menawarkan sebanyak 5,000 peluang pekerjaan dalam bidang TVET.
“Peluang kerjaya ini terbuka kepada golongan graduan baharu dan pekerja berpengalaman yang ingin menambah baik kemahiran dalam pekerjaan memandangkan pasaran kerja dalam bidang TVET semakin mendapat perhatian terutama dalam bidang pembuatan,” katanya kepada Ceritera.
Setakat hari pertama, beliau menambah, terdapat lebih 1,000 golongan pencari kerja telah mendaftar untuk mengikuti sesi temu duga secara langsung oleh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam karnival tersebut.
Beliau menjangka terdapat peningkatan mencecah 5,000 hingga 10,000 pengunjung pada hari ketiga kelak.

“Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang tiga hari program berlangsung termasuk sembilan konsep pameran TVET mengikut sektor utama bidang tersebut merangkumi Pengangkutan dan Automotif, Aeroangkasa, Elektronik dan Digital, Pembuatan Termaju, Tenaga, Rel dan Maritim, Perladangan, Pertanian dan Penternakan, Pembinaan dan Perkhidmatan.
“Selain itu, 300 pengunjung terawal berpeluang menebus ‘free gift’ kad Touch ‘n Go bernilai RM10 oleh pihak penganjur,” ujarnya lagi.
Justeru, beliau menambah, penduduk Melaka dan yang berada di kawasan sekitar negeri itu boleh merebut peluang menambah baik skil pekerjaan dengan meneroka pelbagai jawatan kosong ditawarkan di karnival itu.
Beliau berkata, graduan baharu pula boleh memanfaatkan peluang di depan mata mereka kerana banyak syarikat pembuatan yang terdapat di Melaka memerlukan ramai tenaga kerja berpotensi malah jarang sekali penganjuran karnival tersebut diadakan di luar Lembah Klang.
Sambutan Hari TVET Negara 2025 bertemakan ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’ merupakan manifestasi komitmen dan iltizam kerajaan untuk menjadikan bidang itu sebagai platform utama dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang dinamik, berkemahiran serta berdaya saing.




