
BESUT: Naskhah al-Quran tulisan tangan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Shahirah Azman, 23, yang maut bersama 14 yang lain dalam nahas di Gerik, kelmarin, menjadi tumpuan orang ramai yang menziarahi keluarganya.
Antara yang mengunjungi kediaman keluarga Allahyarham yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut itu ialah Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Turut serta, Tengku Puteri Utama Raja Tengku Datuk Seri Nadhirah Zahrah serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra’.
Tengku Muhammad Ismail dan rombongan yang hadir di Kampung Gong Pasir, Kerandang di Jertih, meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama keluarga Allahyarham dan turut meneliti naskhah al-Quran tulisan tangan arwah.
Kelmarin, seramai 15 pelajar UPSI meninggal dunia, manakala tujuh cedera parah selepas bas dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan jam 1.15 pagi di Kilometer (Km) 53 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, dekat Gerik, Perak.
Bas membawa 42 pelajar universiti itu dalam perjalanan dari Jertih dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar Perodua Alza dan terbalik merempuh penghadang besi.





