
SEGAMAT: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan waris bayi lelaki yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah di Felda Redong, Labis, di sini, pada malam 3 Mei lalu.
JKM Daerah Segamat berkata, bayi berkulit cerah itu dijumpai dengan masih bertali pusat dan dibaluti kain batik dalam keadaan kotor serta dihurungi semut tanpa dokumen.
“Bayi itu yang menerima rawatan di Hospital Segamat kini sihat dan diletakkan bawah jagaan sebuah institusi JKM.
“JKM turut mendapat kebenaran Mahkamah Majistret Segamat pada 23 Mei lalu mengikut Seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu kandung atau waris bayi ini diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Daerah Segamat di talian 07-9311331.





