
IPOH: Polis sudah merekodkan kenyataan 18 individu bagi membantu siasatan nahas ngeri di Kilometer 53 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, Isnin lalu, yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Selain itu, video kamera papan pemuka atau dashcam yang tular juga dianalisis untuk mengesahkan kesahihan dan kaitan dengan kes kemalangan pukul 1.15 pagi itu
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata, kenyataan diambil daripada 13 pelajar UPSI yang terselamat dan dibenarkan keluar hospital, selain pemandu Perodua Alza yang terbabit dalam kemalangan itu.
“Saksi lain termasuk yang rakaman dash cam miliknya tular dalam media sosial, seorang doktor forensik dari Hospital Gerik dan isteri kepada pemandu Alza yang kini menerima rawatan di Hospital Baling.
“Polis masih belum dapat mengambil kenyataan daripada pemandu bas, yang masih menerima rawatan di hospital,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Kata beliau, polis kini menunggu pemandu bas itu dibenarkan keluar dari hospital sebelum mengambil kenyataannya serta mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan.
“Tiada permohonan reman dibuat setakat ini terhadap pemandu bas. Kami menunggu sehingga dia dibenarkan keluar hospital dan mendapat pengesahan pihak hospital,” ujarnya.
Beliau berkata, sampel darah pemandu bas sudah dihantar untuk analisis dan keputusan akan dikeluarkan oleh Jabatan Kimia.
“Mengenai video dashcam yang tular, ia kini sedang dianalisis untuk mengesahkan kesahihan dan kaitannya dengan kes ini. Kualiti video terbabit tidak begitu jelas dan mungkin memerlukan pengesahan oleh pakar.
“Video berkenaan telah dihantar kepada pasukan forensik Bukit Aman untuk siasatan lanjut,” katanya.




