
KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung kes kemalangan bas yang mengorbankan 15 nyawa mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di KM53 Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi semalam, masih di peringkat awal.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia masih terlalu awal untuk pihak polis mengumumkan sebarang keputusan ketika ini kerana siasatan masih berjalan.
“Siasatan masih berjalan dan selepas ini kita akan umum hasilnya, tetapi sekarang masih terlalu awal.
“Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husein dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Perak, Datuk Nor Hisam Nordin ada mengeluarkan kenyataan berhubung kes ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke 41 Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, dalam kejadian awal pagi semalam, 15 mahasiswa UPSI maut dan 33 orang tercedera apabila bas yang membawa mereka terbalik dalam kemalangan tersebut.
Bas yang disewa khas pelajar universiti berkenaan berlepas dari Jertih, Terengganu pada pukul 9 malam kelmarin dan sedang dalam perjalanan ke kampus universiti berkenaan di Tanjung Malim, Perak semasa kejadian





