
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semakan dan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai ini tidak memberi impak negatif kepada golongan rakyat M40 dan B40.
Hal ini kerana, barangan asas harian dan perkhidmatan asas tidak dinaikkan cukai atau dikenakan cukai perkhidmatan, sebaliknya kerajaan melaksanakan perluasan SST bagi menjana hasil tambahan untuk menampung peningkatan perbelanjaan komited, terutamanya bantuan akyat, perkhidmatan dan Pendidikan.
Pakar ekonomi, Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, pendekatan pengenalan cukai yang akan dilaksanakan lebih kepada HVGT atau High Value Good Tax yang menyasarkan barangan atau perkhidmatan premium seperti makanan, pendidikan dan kesihatan yang berskala premium, termasuk sektor pembinaan meliputi nilai siling melebihi jutaan ringgit.
“Maka dalam konteks ini, sewajarnya pelaksanaan cukai ini dilakukan seiring dengan pendekatan yang dilakukan oleh negara-negara yang dikategorikan sebagai negara pertengahan atas yang sedang membangun dan maju seperti Hong Kong, Australia, Singapore dan juga Taiwan,” katanya kepada Ceritera.
Terdahulu, kerajaan akan melaksanakan semakan kadar SST serta peluasan skop percukaian bermula 1 Julai 2025, sebagai langkah memperkukuh kedudukan fiskal negara dan memperluas asas percukaian tanpa membebankan rakyat terbanyak.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penyesuaian kadar dan peluasan skop SST adalah sebahagian daripada pembaharuan fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI, dengan memberi keutamaan kepada perlindungan barangan keperluan asas serta pengecualian cukai kepada golongan rentan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Antara langkah utama termasuk pelaksanaan Cukai Perkhidmatan (CP) sebanyak lapan peratus terhadap perkhidmatan kewangan berasaskan fi atau komisen, perkhidmatan kecantikan bernilai lebih RM500,000 setahun dan perkhidmatan sewaan atau pajakan yang melebihi ambang hasil RM500,000 setahun,” katanya dalam kenyataan.
Kata beliau, kadar CP sebanyak enam peratus pula dikenakan terhadap kerja pembinaan dengan nilai ambang mencecah RM1.5 juta, yang bertujuan membantu kontraktor kecil dan sederhana.
Perkhidmatan jagaan kesihatan swasta pula akan dikenakan CP enam peratus khusus untuk bukan warganegara, manakala rakyat tempatan dikecualikan.
Dalam pada itu, Bashir menyatakan pasaran bagi kebanyakan cukai ini adalah meliputi golongan T15 yang mampu membayar untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan dikehendaki, termasuk bukan warganegara.
Katanya, ia tidak memberi impak negatif kepada golongan M40 dan B40 kerana mereka tidak terlibat dalam konteks perbelanjaan bagi kategori-kategori disasarkan.
“Bagi jangka panjang, pelaksanaan cukai bersifat HVGT ini boleh memberi satu pulangan pendapatan yang baik bernilai puluhan juta ringgit kepada negara.
“Bila negara memperoleh pendapatan yang baik, maka pertumbuhan ekonomi negara juga baik menerusi perbelanjaan fiskal yang boleh disalurkan dalam belanjawan, khususnya bagi kaetgori pembangunan dan sosioekonomi,” katanya.
Sementara itu, bagi sektor pendidikan, CP hanya dikenakan terhadap pendidikan swasta prasekolah, rendah dan menengah jika yuran tahunan melebihi RM60,000 seorang, manakala CP turut dikenakan ke atas pengajian tinggi bagi pelajar bukan warganegara. Pelajar tempatan dikecualikan sepenuhnya.
Bagi Cukai Jualan (CJ), kerajaan mengekalkan kadar sifar terhadap barangan keperluan asas. Kadar CJ sebanyak lima atau 10 peratus hanya dikenakan terhadap barangan pilihan dan bukan keperluan.
Pelbagai pengecualian turut disediakan termasuk CP bagi sewaan bangunan kediaman, bahan bacaan, pajakan kewangan, aset di luar negara serta transaksi perniagaan ke perniagaan (B2B). Kontrak yang tidak boleh disemak semula turut diberi pengecualian CP selama 12 bulan bagi mengelakkan cukai berganda.
Pengecualian juga diberikan kepada PMKS yang mencatat pendapatan kurang daripada RM500,000 setahun, serta perkhidmatan kewangan asas seperti perbankan asas dan pembiayaan syariah berasaskan faedah atau keuntungan.





