
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mahu kerajaan mengkaji keperluan meminda Kanun Keseksaan atau memperkenalkan akta baharu bagi mendakwa syarikat atas kegagalannya menguruskan keselamatan pekerja atau orang awam serta kecuaian yang mengakibatkan kematian.
Katanya, keperluan pindaan akta khusus yang boleh mensabitkan sesebuah syarikat sudah diamalkan di United Kingdom (UK) iaitu UK Corporate Manslaughter and Corporate Homicide Act 2007.
“Ia satu akta yang membolehkan sesebuah syarikat didakwa atas kegagalan seriusnya menguruskan keselamatan pekerja atau orang awam dan kecuaian yang mengakibatkan kematian.
“Akta itu diwujudkan di UK sebagai tindak balas terhadap beberapa kes kematian di tempat kerja di mana tiada pihak korporat dapat dipertanggungjawabkan secara jenayah di bawah undang-undang terutama syarikat yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan kerana ia membabitkan nyawa manusia yang tidak ternilai harganya,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Kenyataan beliau itu merujuk nahas mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menaiki bas dari Jerteh, Terengganu menghala ke kampus di Tanjung Malim, Perak terbalik sebelum melanggar belakang kereta Perodua Alza di depannya, awal pagi semalam.
Nahas di Jalan Raya Timur-Barat menghubungkan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding pada pukul 1 pagi itu adalah antara kemalangan maut yang meragut nyawa tertinggi di negara ini, membabitkan bas membawa 42 pelajar universiti terbabit yang berusia antara 21 hingga 23 tahun.
Pada masa sama, Azlina berkata sudah tiba masa kerajaan menilai semula keberkesanan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.
“Saya sangat bersetuju dengan pandangan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.





