
GERIK: Mayat 15 mangsa nahas membabitkan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gerik-Jeli dekat Tasik Banding di sini, dibawa ke dua hospital bagi proses bedah siasat.
Difahamkan, mayat 13 individu itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh manakala dua lagi di Hospital Gerik.
Kejadian sekitar pukul 1 pagi itu berlaku ketika bas membawa 43 pelajar dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke UPSI di Tanjung Malim sebelum terlibat nahas dengan sebuah MPV jenis Perodua Alza.
Difahamkan, seramai 13 mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Gerik.
Setakat ini, tujuh mangsa berada di zon merah dengan 20 mangsa di zon kuning dan 16 mangsa di zon hijau.
Majoriti pelajar yang menaiki bas itu adalah anak-anak Terengganu untuk pulang ke kampus selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Satiful Bahri Mamat dalam satu kenyataan menyatakan Kerajaan Negeri Terengganu akan menyalurkan bantuan segera kepada semua waris mangsa tragedi, termasuk bantuan kebajikan, khidmat kaunseling serta sokongan psikososial bagi membantu keluarga dan rakan-rakan mangsa menghadapi detik yang sukar ini.
“Saya telah mengarahkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menyelaras segala urusan dengan pihak universiti, hospital serta kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap mangsa dan waris menerima bantuan sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pihaknya menerima laporan awal mengenai satu kemalangan jalan raya yang melibatkan pelajar institusi berkenaan.
Katanya, pihaknya telah membuka bilik gerakan berhubung kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Rayuan Tasik, Gerik, awal pagi tadi mengorbankan pelajar universiti terbabit.
“Terima kasih atas keprihatinan semua. Pihak universiti kini sedang mengambil tindakan susulan berkaitan perkara tersebut.
“Sehubungan itu, pihak universiti memohon seluruh warga UPSI dan masyarakat umum untuk bersama-sama mendoakan agar urusan ini dipermudahkan.
“Pihak UPSI telah membuka bilik gerakan dan sebarang maklumat boleh menghubungi ditalian 05-450 7148 (Pejabat) atau 019-571 9977 (Hotline).





