KUALA LUMPUR: Lima syarikat telekomunikasi (telco) menyatakan komitmen bagi bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menjaga privasi dan perlindungan data pelanggan masing-masing.
Menerusi kenyataan masing-masing, lima telco tersebut iaitu CelcomDigi, Telekom Malaysia (TM), U Mobile, Maxis dan Yes.5G sependapat mengenai Data Telefon Bimbit (MPD) yang diserahkan kepada MCMC tidak mempunyai akses kepada pemprosesan atau perkongsian maklumat pengenalan peribadi pada sebarang peringkat.
Menurut Maxis, kesemua data dianonimkan dan diperoses secara agregat dalam persekitaran selamat, mematuhi sepenuhnya Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.
“Kami cuma beri maklumat yang umum sahaja, bukan data peribadi. Semua ini ikut undang-undang dan bertujuan bantu kerajaan rancang internet yang lebih baik,” kata Maxis.
Dalam pada itu, CelcomDigi menyatakan pihaknya mengambil maklum perbincangan yang berlangsung dan pertanyaan awam mengenai inisiatif Data Telefon Bimbit oleh MCMC, selain bekerjasama rapat untuk menyokong usaha kerajaan tanpa menjejaskan integriti data pelanggan.
“CelcomDigi akan memproses data yang diminta dalam persekitaran selamat dan sampel terhad pada medan yang berkaitan, terdiri daripada output tanpa identiti dan terkumpul kepada MCMC,” menurut kenyataan syarikat telco tersebut.
Selain itu, TM pula berkata, penyerahan data itu dilaksanakan di bawah tadbir urus dan protokol keselamatan yang ketat, dengan pematuhan sepenuhnya terhadap dasar syarikat itu dan undang-undang serta peraturan kawal selia negara.
“TM komited memastikan keselamatan dan privasi data pelanggan terus terpelihara,” katanya.
U Mobile pula menyatakan, pihaknya menyedari objektif tersebut dan komited bekerjasama dengan MCMC dengan memastikan standard tertinggi dalam tadbir urus data pelanggan.
“U Mobile telah menetapkan polisi dan proses bagi memastikan sebarang data yang dikongsi adalah dianonimkan sepenuhnya, diagregatkan dan dikendalikan mengikut undang-undang serta peraturan perlindungan data yang berkuat kuasa,” menurut kenyataannya.
Yes.5G, YTL Communications mengesahkan pematuhan arahan MCMC untuk menyerahkan rekod penggunaan rangkaian mudah alih bagi suku pertama 2025 bagi menyokong mandat kerajaan yang diluluskan baru-baru ini bagi menggunakan MPD untuk statistik nasional.
Katanya, dalam memenuhi arahan ini, YTL Communications telah mengambil langkah rapi untuk menganonimkan semua data sebelum penyerahan. Tiada maklumat yang boleh dikenal pasti secara peribadi telah dikongsi dan privasi pelanggan tetap menjadi keutamaan.
“Kami kekal komited untuk menyokong inisiatif nasional sambil mengekalkan standard perlindungan data peribadi yang tinggi,” katanya.
