
PUTRAJAYA: Malaysia bersedia memberi kerjasama membantu rundingan Kemboja dan Thailand dalam usaha mencapai kesepakatan mengenai isu sempadan kedua-dua negara itu yang dijadual berlangsung 14 Jun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu sudah pun dimaklumkan menerusi panggilan telefon kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, semalam.
“Mengenai Kemboja dan Thailand, saya (sudah) bercakap dengan kedua-dua Perdana Menteri, mereka telah mengambil beberapa langkah yang kita sokong.
“Langkah berkenaan ialah rundingan mengenai sempadan Kemboja-Thailand, pada 14 Jun ini.
“Saya sedia mengikuti dan beri kerjasama yang diperlukan. Setakat ini kedua-dua kerajaan mengambil sikap untuk meneruskan rundingan secara baik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, di sini.
Solat yang diimamkan Imam Besar Masjid Putra, Dr Muhamad Zakuwa Rodzali itu turut disertai hampir 15,000 jemaah daripada pelbagai latar belakang.
Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara jiran itu tercetus selepas seorang askar Kemboja terbunuh dalam kes pertempuran singkat dengan tentera Thailand di wilayah Preah Vihear, pada 28 Mei lalu.
Kemboja kemudian mengumumkan hasrat untuk membawa pertikaian sempadan itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Thailand turut dilapor mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan isu sempadan dengan Kemboja melalui usaha damai mengikut undang-undang antarabangsa, serta perjanjian dan memorandum yang berkaitan.
Susulan ketegangan itu, satu rundingan yang dijadualkan melalui platform Suruhanjaya Sempadan Bersama akan berlangsung pada 14 Jun di Phnom Penh.
Usaha itu dijangka menjadi langkah penting ke arah penyelesaian damai jangka panjang antara dua negara jiran ASEAN tersebut.
Malaysia selaku pengerusi ASEAN ketika ini memantau perkembangan isu sempadan Kemboja-Thailand.
Semalam, Paetongtarn selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara mengumumkan Thailand menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani kebimbangan keselamatan di sepanjang sempadannya dengan Kemboja.






