
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan perasaan dukacita dan kecewa terhadap peningkatan kes penipuan pakej haji membabitkan umat Islam di negara ini.
“Lebih menyedihkan apabila pihak mengeksploitasi itu adalah dalam kalangan umat Islam sendiri yang tergamak menipu saudara seagama demi kepentingan peribadi,” titah baginda dalam hantaran menerusi Facebook Selangor Royal Office.
Baginda sekali gus menitahkan supaya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat pelancongan yang menawarkan pakej haji dengan mengambil kesempatan menipu umat Islam.
Sultan Sharafuddin turut menasihati umat Islam agar sentiasa memelihara kesucian ibadah haji dengan memastikan setiap urusan dibuat dengan ejen dan syarikat berlesen serta diiktiraf oleh pihak berkuasa untuk mengendalikan urusan haji dan umrah.
Pada masa sama, baginda mendoakan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci dapat menjalani ibadah dengan sempurna dan dikurniakan haji mabrur, seterusnya kembali ke tanah air dengan selamat.
“Sempena Aidiladha kali ini, diharapkan sekalian umat Islam mensyukuri nikmat dikurniakan Allah SWT dan melaksanakan ibadah korban demi membantu yang miskin serta menginsafi nasib golongan lebih daif,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, juga berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam di seluruh Malaysia.






