
KUALA LUMPUR : Tindakan membenarkan syarikat dan perniagaan makanan serta minuman mikro terus menggunakan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi biarpun tanpa Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB) menggambarkan keprihatinan dan perhatian kerajaan kepada suara peniaga kecil.
Anggota Sekutu Malaysia Pusat Pilihan Pengguna (CCC), Tarmizi Anuwar berkata, berkata tindakan kerajaan itu merupakan perkembangan positif dalam proses pembentukan dasar apabila terbuka mendengar maklum balas daripada pihak yang mungkin akan menangguung bebanan kos.
“Apabila peniaga mula bersuara mengenai beban peraturan dan kerajaan bertindak berhenti seketika untuk menyemak semula, ia menunjukkan sikap terbuka kepada maklum balas.
“Selain itu, kerajaan juga perlu memperkukuh proses libat urus dengan peniaga, bukan sekadar mendengar tetapi juga melibatkan mereka secara aktif dalam perbincangan dasar. Pendidikan dan latihan juga penting untuk memastikan peniaga memahami keperluan peraturan dan cara mematuhinya tanpa membebankan operasi mereka.
“Dasar yang berkesan seharusnya mudah difahami, mudah dilaksanakan dan tidak membebankan mereka yang jujur berniaga. Jika tidak, kos pematuhan meningkat dan peniaga terpaksa menaikkan harga jualan, yang akhirnya membebankan pengguna,” kata beliau ketika dihubungi Ceritera.
Semalam Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali membenarkan syarikat dan perniagaan makanan serta minuman mikro terus menggunakan LPG bersubsidi biarpun tanpa PBKB sehingga pindaan baharu kepada Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan 2021) dimuktamadkan dijangka Oktober depan.
Tambah Tarmizi, sebarang pindaan mengenai perkara ini perlu dirangka dengan bijak kerana ia boleh membebankan peniaga mikro yang beroperasi dengan margin keuntungan kecil.
“Kos tambahan seperti permit dan prosedur rumit akan naikkan kos operasi mereka. Subsidi juga perlu dirasionalisasikan secara berperingkat kerana subsidi blanket tidak efisien dan mudah disalahguna.
“Dengan rasionalisasi, bantuan dapat disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan, mengurangkan pembaziran dan beban kerajaan. Jika kos operasi naik, peniaga terpaksa naikkan harga, yang akhirnya menjejaskan pengguna,” katanya.
Tarmizi turut mencadangkan beberapa langkah mesra pasaran dan cekap bagi memastikan kedua-dua pihak mendapat keuntungan.
Antara cadangan itu adalah memanfaatkan data sedia ada seperti pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau maklumat pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti peniaga mikro yang layak menerima subsidi dan mengelakkan keperluan permit tambahan atau borang rumit; cukup dengan pengesahan automatik berasaskan data yang ada.
“Lebih baik lagi, beralih kepada subsidi tunai bersasar, membolehkan peniaga kecil memilih untuk menggunakan subsidi bagi LPG, sewa kedai atau kos lain. Yang paling penting, elakkan lapisan birokrasi yang akan meningkatkan kos kepada peniaga dan akhirnya membebankan pengguna.
“Memang penting untuk membendung penyelewengan seperti aktiviti pemindahan gas subsidi (decanting) kepada industri tidak layak. Namun, kita perlu fahami punca utama kenapa aktiviti haram ini berlaku. Ia berpunca daripada jurang harga yang besar antara gas subsidi dan harga pasaran.
“Selagi subsidi diberikan secara umum dan kawalan terlalu ketat, wujud insentif untuk mengambil kesempatan. Ketirisan sebegini menyebabkan kerajaan perlu menanggung kos tambahan, yang akhirnya dibebankan kepada pembayar cukai dan pengguna melalui potongan subsidi penting atau kenaikan harga barangan,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau mengatakan Ops Gasak adalah langkah reaktif yang perlu, namun penyelesaian jangka panjang merupakan reformasi sistem subsidi supaya bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan tanpa menyekat mekanisme pasaran.
” Dengan sistem subsidi yang lebih telus dan bersasar, peniaga tidak terbeban, ketirisan dapat dikurangkan, dan pengguna tidak perlu menanggung kenaikan harga makanan yang mendadak,” katanya.





