
KUALA LUMPUR: Seramai 25 peserta berjaya menamatkan Program Fotografi dan Suntingan Visual Berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) yang berlangsung di Masai, Johor dari 16 hingga 20 April lalu.
Program anjuran Kemahiran Masyarakat India Malaysia (MISI) itu direka khusus meningkatkan potensi kreatif serta literasi digital dalam kalangan komuniti India Malaysia.
Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) menerusi kenyataan berkata, inisiatif ini mengukuhkan lagi komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa bakat komuniti India tempatan dengan kemahiran masa depan.

“Program lima hari ini memberi tumpuan kepada tiga komponen Utama iaitu teknik Fotografi dan suntingan visual berasaskan AI, penyuntingan video berasaskan AI dan penjanaan pendapatan kreatif dan pembangunan perniagaan.
“Para peserta turut menerima sijil penyertaan sebagai dorongan untuk mereka terus mengasah kemahiran di samping meneroka peluang dalam industri kreatif digital yang kian berkembang pesat.
“Usaha ini mencerminkan komitmen MISI dalam merapatkan jurang digital dan memastikan akses yang inklusif terhadap teknologi baharu,” menurut kenyataan itu.

Inisiatif yang dianjurkan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui HRD Corp ini merupakan sebahagian daripada matlamat utama MISI melengkapkan komuniti India Malaysia dengan kemahiran masa depan yang mampu menyumbang kepada ekonomi negara dan kelestarian kendiri.
Kenyataan itu memaklumkan, usaha itu sejajar dengan visi progresif Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang mahu menggerakkan Malaysia ke arah masa depan lebih inklusif dan berteraskan kemahiran.
Sejak dilancarkan pada November 2024, MISI telah berjaya menarik penyertaan lebih 8,000 individu dalam bidang berkemahiran tinggi seperti Kecerdasan Buatan (AI), pertanian pintar dan teknologi dron, selaras dengan keperluan industri terhadap tenaga kerja yang mahir.

“Sokongan berterusan beliau terhadap inisiatif seumpama ini mencerminkan komitmen beliau dalam memperkasa masyarakat melalui pendidikan, inovasi serta keterangkuman digital,” jelas kenyataan itu.
Impak MISI bukan sahaja tertumpu kepada peluang pekerjaan, malah mempromosikan keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat dan kemajuan kerjaya demi memastikan kejayaan jangka panjang buat komuniti India tempatan.





