PUTRAJAYA: Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd (Andalusia) menyasarkan membawa 30,000 jemaah ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah pada musim 1447H bermula bulan hadapan.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undangnya, Ida Riswana Idris berkata, setakat ini sebanyak 22,000 jemaah sudah mendaftar dengan Andalusia dengan penerbangan pertama dijangka berlepas pada 11 Jun.
“Sasaran kita adalah 30,000 jemaah untuk permulaan pada 1 Muharram yang tinggal beberapa hari lagi. Setakat ini sasaran masih 80,000 dalam tempoh setahun.
“Cuaca dan suhu di Tanah Suci ketika ini panas sedikit, namun keadaan pada Julai, Ogos, September dan Oktober dijangka lebih baik serta orang juga tidak terlalu ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis memeterai kerjasama dengan unit penerbangan haji dan umrah Malaysia Aviation Group (MAG), Amal by Malaysia Airlines di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor; Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin.
Ida Riswana berkata, bagi musim umrah kali ini Andalusia menawarkan sebanyak 77 penerbangan dalam setahun, dua kali seminggu dengan jumlah keseluruhan 21,791 tempat duduk pesawat.
Terdahulu, sebanyak 13 agensi umrah terkemuka Malaysia termasuk Andalusia memeterai kerjasama strategik dengan Amal by Malaysia Airlines bagi musim 1447H (Jun 2025 hingga Julai 2026).
Kerjasama itu menggariskan komitmen meningkatkan pengalaman ziarah, memastikan perjalanan yang lancar dan boleh dipercayai untuk pengembara Malaysia ke Tanah Suci.
