SHAH ALAM: Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) menjadi anjakan paradigma dalam transformasi pembangunan baharu menggariskan piawaian unggul reka bentuk, pembinaan dan tadbir urus ruang awam.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah pelan pembangunan baharu Selangor akan mengadaptasi penyelesaian lestari yang mengintegrasi infrastruktur dengan keperluan biodiversiti, sekali gus menjadikannya rujukan utama bagi inisiatif akan datang.
Titahnya, pembangunan KSSA itu turut mengadaptasi prinsip moden diperlukan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam era pembangunan bandar lestari.
“Taman KSSA menjadi hab komuniti dan komponen utama dalam keseluruhan pembangunan KSSA. Buat julung kalinya, ia bakal menyaksikan pelaksanaan pemulihan ekologi melalui pendekatan berasaskan alam semula jadi.
“Di bawah kompleks ini tersedia sistem mitigasi banjir bawah tanah serba canggih dan automatik sepenuhnya, termasuk sebuah kolam tadahan banjir seluas empat hektar bagi menguruskan air hujan dan mengurangkan risiko banjir di zon terdedah di Shah Alam,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima bagi Pembangunan KSSA di sini, hari ini.
Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Bagi Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan Lembaran Prospek Sdn Bhd (LPSB), menandakan permulaan rasmi pembangunan KSSA.
Projek akan dilaksanakan oleh LPSB, anak syarikat milik penuh MRCB Land Sdn Bhd, yang juga anak syarikat Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).
Raja Muda Selangor bertitah, ia elemen strategik utama dalam pengurusan air hujan, pemulihan ekologi, pembangunan semula bandar dan pengurusan air lestari melalui integrasi Taman KSSA ke dalam pelan mitigasi banjir Seksyen 13 Shah Alam oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS).
“Pendekatan yang terbukti dan menjimatkan kos ini menyokong objektif rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) semasa dan menggalakkan penggunaan tanah yang cekap.
“Melangkaui pembaharuan infrastruktur konvensional, inisiatif ini menggambarkan komitmen jauh ke hadapan untuk meningkatkan kualiti hidup dan keselesaan jangka panjang Selangor,” titah baginda.
Malah Tengku Amir Shah bertitah, pendekatan baharu terhadap pembangunan bandar itu mencerminkan falsafah berasaskan visi, inovasi dan tanggungjawab.
“Ini caranya kita membina legasi, dengan rasa bangga, hala tuju dan komitmen tidak berbelah-bahagi untuk mencapai kecemerlangan.
“Pendekatan ini akan menjadi penanda aras terhadap cara kita melaksanakan pembangunan di Selangor, masa ini dan masa hadapan,” titah baginda.
Titahnya berharap ia menjadi pusat komuniti yang menggabungkan keraian budaya dan pemulihan ekologi yang dibina berasaskan reka bentuk mesra alam.
“Taman ini akan menonjolkan kekayaan warisan alam semula jadi Selangor dan pada masa sama berfungsi sebagai ruang pertemuan dinamik bagi masyarakat pelbagai peringkat usia
“Beta membayangkan KSSA tegak megah setanding destinasi ikonik dunia seperti Queen Elizabeth Olympic Park di London, Melbourne Sports Precinct, atau Marina Bay di Singapura, yang bukan sekadar sebuah stadium sebaliknya karya hidup dipenuhi suara, warna dan impian,” titah baginda.
