KUCHING: Negara-negara anggota ASEAN digesa bekerja lebih keras untuk menubuhkan Badan Penilaian Keakuran dalam usaha memastikan bahan binaan dihasilkan, diimport dan digunakan adalah selamat, berkualiti tinggi dan mematuhi keperluan antarabangsa, susulan gempa bumi di Myanmar serta Thailand baru-baru ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, menerusi pemeteraian Perjanjian Pengiktirafan Bersama Bangunan dan Pembinaan (BCMRA) di Kemboja pada 9 Mac tahun lepas, beliau percaya komitmen negara anggota ASEAN akan mengukuhkan lagi usaha bersama dalam menyediakan garis panduan holistik mengenai standard bahan binaan.
“Sehubungan itu, saya mahu mengambil kesempatan ini untuk menggesa semua ahli kumpulan kerja untuk mempercepatkan proses ratifikasi BCMRA untuk kita menubuhkan Jawatankuasa Sektoral Bersama dan melancarkan proses mengiktiraf piawaian itu,” katanya ketika berucap pada mesyuarat Kumpulan Kerja Bangunan dan Pembinaan ASEAN (BCWG) ke-12 di sini.
Mesyuarat BCWG adalah sebahagian daripada program di bawah Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo 2025.
Katanya, sebagai kumpulan profesional dan pakar yang berdedikasi untuk pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur penting, perbincangan kumpulan kerja adalah penting untuk menyelidiki amalan terbaik, penyelesaian inovatif dan strategi kolaboratif untuk menangani cabaran dan peluang khususnya dalam piawaian bangunan dan bahan binaan dan keseluruhan industri secara keseluruhan.
“Mesyuarat itu telah menekankan kepentingan piawaian bahan binaan di rantau ini dan cabaran dalam memastikan bahan yang digunakan dalam pasaran kami akan sentiasa penting kerana infrastruktur adalah nadi setiap negara,” katanya.
