
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, R Ramanan menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti Mei ini.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu adalah calon ketujuh bertanding merebut empat kerusi naib presiden.
Ramanan berkata beliau telah berbincang dengan pimpinan parti dan ahli PKR serta memaklumkan hasrat itu kepada Presiden Anwar Ibrahim sebelum memutuskan untuk bertanding.
“Matlamat utama saya adalah untuk memperkukuhkan dan memperkasakan PKR dari peringkat akar umbi sehinggalah di pimpinan pusat.
“Semangat perjuangan harus seiring dengan gagasan Malaysia Madani dan saya percaya bersama-sama kita mampu lakukan yang terbaik demi masa depan negara,” katanya dalam kenyataan.
Empat naib presiden yang dipilih pada 2022 adalah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Kesemuanya mengumumkan akan mempertahankan jawatan mereka.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil juga mengumumkan akan merebut jawatan itu.
Pemilihan untuk jawatan kuasa sayap Wanita dan Pemuda di peringkat bahagian akan diadakan pada 11 hingga 20 April.
Pemilihan untuk Majlis Pimpinan Pusat dan ketua sayap Wanita serta Pemuda akan diadakan pada 24 Mei.