
KAJANG: Polis ketika ini menunggu arahan selanjutnya daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung tindakan lelaki mencederakan pelajar sekolah menengah akibat selisih faham ketika memandu di Saujana Impian, Jumaat minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kertas siasatan sudah dihantar kepada TPR pada 17 Mac lalu dan belum menerima apa-apa arahan lagi setakat ini.
“Kertas siasatan sudah dilengkapkan dan diserah ke TPR 17 Mac lalu dan ketika ini kita sedang menunggu arahan selanjutnya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki yang mencederakan pelajar sekolah menengah akibat berselisih faham ketika memandu di Saujana Impian, Kajang, pada 14 Mac lalu.
Menerusi video yang tular dalam media sosial, seorang lelaki didakwa sedang memarahi seorang pelajar dengan hidungnya berlumuran darah, dipercayai dipukul lelaki berkenaan.