
KUALA LUMPUR: Kementerian Digital telah melaksanakan latihan kemahiran, libat urus dan kerjasama rentas sektor, selain pelbagai langkah produktif lain dalam pengadaptasian kecerdasan buatan (AI) di sektor awam.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbo berkata kesemua program tersebut dilaksanakan melalui Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO).
“Ia termasuk Program AI At Work 2.0 yang dilancarkan 5 Februari lalu dengan kerjasama Google Cloud, bertujuan merevolusikan produktiviti penjawat awam dengan mengintegrasikan alat AI generatif dalam tugas harian,” katanya.
Beliau berkata demikikan ketika menjawab soalan Datuk Mustafa Musa berhubung perkembangan terkini kerangka Program AI untuk Rakyat serta penggunaan AI dalam Penyampaian Perkhidmatan Awam Persekutuan tahun ini di Dewan Negara, hari ini.
Selain itu, beliau berkata bengkel ‘Train-The-Trainer’ yang diadakan pada 3 hingga 7 Mac lepas melibatkan penyertaan eramai 250 pentadbir IT MyGOVUC dan ia akan diperluaskn ke setiap kementerian bagi memastikan digitalisasi sektor awam dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Pendekatan ini dijangka membolehkan penjawat awam menumpukan lebih banyak masa kepada tugas strategik serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” jelasnya.
Tambahnya, antara bidang fokus utama AI dalam perkhidmatan awam bagi 2025 adalah pembangunan bakat AI, penyediaan garis panduan AI sektor awam, penyediaan infrastruktur yang menyokong pengadaptasian AI di sektor awam serta pembangunan sistem AI.
Wilson Ugak turut memberitahu Kementerian Digital melalui Jabatan Digital Negara juga sedang giat menjalankan sesi libat urus bersama pemegang taruh bagi menerangkan mengenai Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam yang dilancarkan pada 27 Februari lalu untuk memastikan kecekapan dan penggunaan AI yang bertanggungjawab dan beretika.