
PUTRAJAYA: Bekas Panglima Tentera Darat direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan projek perolehan tender pasukan keselamatan itu.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Dalam kes sama, dua isteri bekas panglima berkenaan turut direman bagi membantu siasatan.
Seorang daripadanya direman selama enam hari manakala seorang lagi direman tiga hari selepas kedua-duanya ditahan SPRM semalam.
Ketiga-tiga individu terbabit dibawa ke mahkamah pagi ini bagi proses permohonan reman. Mereka tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya pukul 10.02 pagi dengan menaiki dua kenderaan SPRM.
Kesemua mereka memakai baju tahanan berwarna jingga serta bergari sebelum dibawa masuk ke pekarangan mahkamah.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tiga individu berkenaan berhubung siasatan kes rasuah melibatkan projek perolehan tender tentera darat.







