
KUALA LUMPUR: Tindakan susulan terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji akan dilaksanakan secara tegas dan menyeluruh, termasuk menyiasat sebarang penyelewengan hingga ke akar umbi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, jaminan itu selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 8 Ogos lalu supaya sebarang penyelewengan disiasat ‘hingga ke lubang cacing’.
Katanya, sebagai institusi Parlimen berwibawa, beliau menghormati proses Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Kerajaan MADANI sedia memberi kerjasama penuh sekiranya diperlukan.
“Desakan berterusan sejak 2019 oleh pelbagai pihak membuktikan pengurusan simpanan umat ini menuntut ketelusan mutlak yang tidak boleh dikompromi sama sekali.
“Kerajaan MADANI berikrar akan menggalas amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan rasa gerun kepada Allah dan memastikan setiap kezaliman ditangani berlandaskan undang-undang
“Langkah ini penting demi memelihara amanah jutaan pendeposit serta mempertahankan kesucian harta umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Zulkifli berkata, keanggotaan RCI Tabung Haji yang dibentuk oleh enam tokoh berwibawa tinggi diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Julai 2021.
“Keanggotaan merangkumi pakar kehakiman, pentadbiran awam, perbankan, syariah dan audit.
“Gabungan kepakaran ini memastikan setiap siasatan dan cadangan tindakan dibuat secara bebas, profesional, adil serta berintegriti tanpa sebarang campur tangan,” katanya.





