KENINGAU: Seorang pelajar tingkatan dua maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri atau ‘bakakuk’ yang dilepaskan secara tidak sengaja oleh rakannya dalam kejadian di halaman sebuah rumah di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, mangsa berusia 14 tahun rebah selepas ditembak dari jarak kira-kira tiga meter ketika mereka dipercayai bermain di bawah kolong rumah.
Mangsa yang mengalami 14 kesan tembakan pada beberapa bahagian tubuh termasuk dada kanan, lengan, lutut dan sisi kiri badan dikejarkan penduduk ke Hospital Keningau namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Unit Kecemasan.
Ketua Polis Keningau, Deputi Superintenden Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila suspek terlihat mangsa memegang senjata berkenaan sebelum mengajaknya bergurau.
“Suspek dipercayai secara tidak sengaja menarik picu senjata lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa ketika mereka bermain sembunyi-sembunyi.
“Panik dengan apa yang berlaku, suspek kemudian meminta bantuan orang kampung yang kebetulan melalui kawasan itu,” katanya.
Menurut beliau, senjata tersebut disorokkan oleh adik suspek, manakala pemilik sebenarnya adalah bapa mereka yang berusia 70 tahun.
“Tiga beranak itu sudah ditahan untuk siasatan lanjut. Mangsa difahamkan rapat dengan suspek dan sering bermalam di rumah keluarga berkenaan,” katanya.
Polis turut merampas bakakuk, peluru hidup, kelongsong peluru, pakaian suspek serta dua telefon bimbit bagi membantu siasatan.
Bedah siasat dijalankan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
