
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meminta semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung isu penyalahgunaan logo halal membabitkan produk ‘ham dan cheese’ yang dijual premis di sebuah universiti awam di Kuala Lumpur.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali turut meminta semua pihak memberi ruang serta peluang kepada pihak bertanggungjawab untuk membuat siasatan secara menyeluruh mengikut undang-undang.
“Kita jangan ganggu siasatan, jangan beri tekanan, jangan buat spekulasi. Komitmen kita di KPDN adalah memastikan siasatan dilaksanakan dengan telus,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perutusan Hala Tuju KPDN, hari ini.
Pada 13 Januari lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataan mengesahkan produk ham dan keju yang dijual dalam premis di universiti awam itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk itu bukan pemegang SPHM.
Mengenai keputusan ujian kimia terhadap sampel produk tersebut yang dijalankan Jabatan Kimia, Armizan berkata setakat ini pihaknya belum menerima keputusan berkenaan.