
KUALA LUMPUR: Syarat mempunyai indeks jisim badan (BMI) kurang daripada 28 untuk menikmati kenaikan pangkat dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dibincangkan tahun depan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, syarat itu akan dibincangkan bersama Ketua Pengarah JBPM.
“Anggota JBPM tidak boleh mempunyai BMI melebihi 30. Sekiranya BMI melebihi 30, memang sudah menjadi dasar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tidak dibenarkan naik pangkat.
“Sebab itu saya nasihatkan anggota JBPM perlu pastikan badan sihat minda cergas. Pastikan setiap hari berlari lima kilometer.
“Syarat (BMI kurang daripada 30) ini dikenakan untuk semua pangkat. Ada lagi ruang boleh diperbaiki, setakat ini terkawal,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan Sempena Tahun Baru Cina 2025 (Ops Siaga Raya), di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, anggota polis kini perlu memenuhi syarat mempunyai BMI kurang daripada 28 untuk kenaikan pangkat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata syarat BMI itu adalah di antara kriteria yang ditambah bagi memastikan proses kenaikan pangkat dalam PDRM menjadi lebih ketat.
“Inisiatif ini penting untuk memastikan kesihatan dan kemahiran anggota polis, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam ucapan pada perhimpunan bulanan PDRM.