
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkasa Konsep Payung Rahmah Madani dengan memperkenalkan Servis Ihsan Madani@ Petronas AutoExpert (SIM@PAX) bagi menangani kos sara hidup rakyat.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, SIM@PAX diadakan dengan kerjasama Petronas bagi membantu golongan berpendapatan rendah mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan.
Katanya, program itu menawarkan pakej penyelenggaraan kereta di 130 bengkel Petronas AutoExpert seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Pelaksanaan pertama SIM@PAX ini akan bermula 24 hingga 28 Januari ini sempena Sambutan Tahun Baru Cina di 95 pusat bengkel Petronas AutoExpert seluruh negara,” katanya pada sidang media hari ini.
Yang turut hadir timbalannya, Datuk Fuziah Salleh.
Terdahulu, SIM@ PAX menawarkan pengurangan harga minyak pelincir jenis mineral dan semi sintetik pada harga istimewa antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.
Orang ramai boleh membuat temu janji sebelum hadir ke bengkel Petronas AutoExpert melalui sistem Setel.
SIM@PAX akan dilaksanakan pada setiap musim perayaan utama Malaysia bermula tahun ini.
Ia membabitkan Tahun Baru Cina, Aidil Fitri, Aidiladha, Pesta Kaamatan, Hari Gawai, Deepavali, Krismas dan Hari Kebangsaan.