
KUALA LUMPUR: Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke London baru-baru ini merupakan ‘waktu yang tepat’ untuk kedua-dua negara mengembangkan pelaburan dan perdagangan mengikut keperluan negara masing-masing.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, perjanjian perdagangan bebas antara Malaysia dan United Kingdom (UK) yang dicapai menerusi Perjanjian Komprehensif dan progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dijangka meningkatkan lagi jumlah dagangan antara kedua-dua negara.
“Jumlah perdagangan antara Malaysia dan UK sebenarnya adalah kecil dari segi angka dan skala iaitu sekitar AS$3.5 bilion (RM15.8 bilion) sahaja.
“Jadi, menerusi CPTPP, angka tersebut boleh berkembang kepada AS$5 bilion (RM22.5 bilion), selain menyaksikan hampir 94 peratus tarif dijangka dihapuskan kesan daripada perjanjian berkenaan,” katanya kepada Ceritera.
Sebelum ini, Anwar mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat di London ketika melakukan lawatan kerja ke UK melibatkan syarikat Standard Charted PLC, Jaguar Land Rover Automotive PLC, Raw Energy dan Yondr.

Anwar juga mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Keir Starmer bagi melakukan mesyuarat dua hala.
Malaysia telah meratifikasi CPTPP pada Oktober 2024, manakala UK menyertai secara rasmi pada Disember tahun lepas.
Perjanjian tersebut akan merancakkan lagi aktiviti perdagangan serta mengurangkan tarif kepada sifar bagi produk negara anggota.
Dalam pada itu, Bashir memberitahu, beberapa sektor seperti elektrik dan elektronik, tenaga boleh ubah, ekonomi digital, aeroangkasa, hartanah dan kewangan bakal menjadi bidang tumpuan dalam meningkatkan kadar pelaburan di antara Malaysia dan UK.
Beliau berkata, kesemua sektor berkenaan selaras dengan pelan hala tuju kedua-dua negara yang mahu memperkasa bidang tenaga boleh ubah menjelang 2030, selain pelan perindustrian dan pelaburan hijau.
“Sektor-sektor berkenaan boleh mewujudkan pertumbuhan ekonomi dan lebih mampan, kondusif dan inklusif untuk UK dan juga Malaysia.
“Biarpun UK sudah keluar dari Kesatuan Eropah, namun itu tidak menghalang negara berkenaan untuk terus mengembangkan sayap ekonominya, malah mata wang pound ketika ini masih antara yang mendominasi pertukaran mata wang dunia.
“Pertemuan Anwar dan Starmer juga menyaksikan UK boleh menjalin kerjasama yang lebih luas dengan Malaysia dan tidak hanya menumpukan negara Asia yang lebih besar seperti China,” ujarnya.