
PUTRAJAYA: Malaysia menggesa penubuhan pasukan petugas jenayah siber ASEAN ala Polis Antarabangsa (Interpol) bagi memudahkan perkongsian maklumat risikan dan kerjasama serantau dalam menangani ancaman jenayah digital dengan lebih berkesan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan pasukan itu penting kerana jenayah siber kekal sebagai ancaman keselamatan paling ketara di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
“Sepanjang tahun lalu, Malaysia melaporkan kerugian kewangan lebih RM1.22 bilion akibat jenayah siber selain dapat mengesan berjuta-juta ancaman siber.
“Ini mengukuhkan keperluan untuk mempertingkatkan daya tahan siber dan langkah keselamatan siber secara lebih proaktif,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pameran dan Sidang Kemuncak Antarabangsa Asia (AISSE25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, ancaman keselamatan seperti jenayah siber, keganasan dan jenayah rentas sempadan semakin canggih serta saling berkait menggunakan teknologi ketika ini.
Katanya, penjenayah siber kini menggunakan kecerdasan buatan (AI), automasi, dan ‘dark web’ untuk melancarkan serangan yang memerlukan pihak berkuasa mencipta kesiapsiagaan baharu.
“Malaysia kekal komited mewujudkan ekosistem keselamatan yang selamat, berdaya tahan dan saling bekerjasama, bukan sahaja untuk negara kita tetapi juga untuk rantau ASEAN.
“Dengan perkembangan ekonomi digital, ancaman siber yang menyasarkan perniagaan, kerajaan, dan individu turut meningkat. Kepantasan kemajuan teknologi memerlukan rangka kerja keselamatan kita lebih tangkas dan adaptif,” katanya.
Beliau berkata, perkongsian keselamatan dalam kalangan negara ASEAN memainkan peranan penting mengekalkan kestabilan serantau.
Melalui rangka kerja seperti ASEANAPOL (Polis ASEAN) dan Interpol, Malaysia aktif menyumbang kepada perkongsian perisikan dan pembanterasan sindiket jenayah rentas sempadan.
“Kita mesti mengukuhkan perkongsian ini untuk memastikan rangkaian perisikan terus berkembang seiring dengan ancaman keselamatan,” katanya.