
KUALA LUMPUR: Tumpuan perkhidmatan rangkaian 5G bukan bagi mencapai liputan 100 peratus semata-mata, sebaliknya turut memberi fokus kepada kawasan yang boleh memberi manfaat maksimum seperti zon perindustrian.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata ketika ini kementeriannya mengenal pasti lebih 67 kawasan zon perindustrian yang akan diberi keutamaan dalam pelaksanaan rangkaian teknologi berkenaan.
“Untuk rangkaian 5G, fokus tidak semestinya untuk capaian 100 peratus. Fokus kita adalah beberapa kawasan yang kita lihat boleh menerima manfaat paling banyak, contohnya di kawasan-kawasan perindustrian.
“Ini supaya syarikat-syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta kilang-kilang boleh memanfaatkan teknologi seperti Internet of Things (IoT) dan Big Data yang memerlukan internet berkelajuan tinggi dan selamat.
“Jadi fokus kita selepas ini adalah untuk memastikan sektor-sektor yang boleh menerima manfaat paling besar daripada kelajuan internet 5G, mereka boleh menempahnya,” katanya selepas menghadiri program Sumbangan Tahun Baharu Cina di Pasar Pagi Taman Seri Sentosa di sini, hari ini.
Fahmi berkata, pelaksanaan perkhidmatan rangkaian 5G berkenaan akan dibincang dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Industri Revolusi Industri Keempat (MED4IR) yang dijadualkan berlangsung 12 Februari depan.
“Mesyuarat akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kita akan bincang termasuk mengenai pelaksanaan rangkaian 5G, sama ada yang pertama di bawah Digital Nasional Berhad atau yang kedua di bawah U Mobile,” katanya.
Semalam, Fahmi dilaporkan berkata, liputan rangkaian 5G di seluruh negara mencapai 82.4 peratus di kawasan berpenduduk setakat Disember 2024.
Ia menjadikan Malaysia antara negara terpantas di dunia yang memperluas akses komunikasi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.