
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mencadangkan kerajaan memasukkan peristiwa penting seperti pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 1998 ke dalam silibus baharu mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah.
Mohd Sany berkata, selain sejarah berkaitan kemerdekaan negara, peristiwa sehinggalah muncul gerakan reformasi juga perlu didedahkan kepada generasi baharu.
“Politik moden kita hari ini juga harus didedahkan kepada generasi baru, misalnya himpunan BERSIH yang jadi satu modul bagaimana pilihan raya di negara kita berlaku dalam (situasi) adil dan bersih.
“Begitu juga Langkah Sheraton, himpunan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960), dulu ia (dianggap) satu akta yang sangat zalim dan bila diadakan perhimpunan itu, (kemudiannya) ISA dihapuskan di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab cadangan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pembangunan kurikulum baharu bagi subjek Sejarah dibuat melalui proses yang sudah ditetapkan.
“Berkenaan cadangan daripada Hulu Langat, pihak kami ambil maklum dan semua perkara berkenaan dengan pelakaran kurikulum sesuatu mata pelajaran itu akan lalui proses sewajarnya.
“Pada masa sama, sesi libat urus dengan guru, badan profesional dan masyarakat turut dilaksanakan bagi memastikan kandungannya kekal relevan dan tepat,” katanya.







