KUALA LUMPUR : Sekolah Rendah Islam al-Afsari, Saujana Putra, Puchong, Selangor masih belum mendaftar di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyebabkan pelajar tidak dapat menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2025.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Bahagian Pendidikan Islam, JAIS selaku agensi pelaksanaan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di peringkat negeri.
“JAKIM telah mengadakan semakan silang dan perbincangan bersama Bahagian Pendidikan Islam, JAIS.
“Pihak JAIS telah mengesahkan Sekolah Rendah Islam al-Afsari belum berdaftar di Bawah JAIS serta beroperasi tanpa kelulusan PBT.
“Keadaan ini menyebabkan sekolah tersebut tidak memenuhi kriteria pendaftaran sekolah agama Islam swasta di Negeri Selangor sebagaimana diperuntukkan di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, JAKIM telah mengadakan pertemuan rasmi dengan pihak sekolah pada 3 November lalu dan menjelaskan Peperiksaan UPKK dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) peperiksaan peringkat kebangsaan yang ditetapkan oleh Ketua Pegawai Keselamataan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan tertakluk di Bawah Akta Rahsia Rasmi 1942, bagi menjamin kerahsiaan dan integriti peperiksaan.
Kenyataan itu turut menjelaskan semua calon UPKK Tahun 2025 telah didaftarkan dan diberikan nombor giliran melalui SIMPENI sebelum pelaksanaan ujian lisan;
“Ujian Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) telah selesai dilaksanakan antara 7 April hingga 12 September 2025, manakala ujian lisan al-Quran (UPKK01) dijalankan antara 22 September hingga 17 Oktober 2025. Markah bagi kedua-dua komponen ini telah dikumpulkan di peringkat daerah oleh Setiausaha Peperiksaan (SuP).
“Ujian bertulis UPKK dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 20 November 2025, dan semua kertas peperiksaan telah diedarkan ke seluruh negeri berdasarkan bilangan calon serta pusat peperiksaan yang berdaftar,”ujarnya.
Dalam perkembangaan sama, perakuan pendaftaran hanya diberikan setelah tiga agensi berkaitan memberikan sokongan, selaras dengan Garis Panduan Pengurusan Am (Pendaftaran dan Penubuhan) dan Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 (Pindaan 2001).
JAKIM dan JAIS turut menasihatkan agar murid-murid terlibat dipindahkan ke sekolah berdaftar atau didaftarkan sebagai calon menumpang bagi tujuan peperiksaan UPKK.
Sementara tu, Sirajuddin meminta pihak sekolah meneliti semula tatacara pendaftaran bagi mengelak isu sama berulang, dengan JAKIM menyediakan panduan dan khidmat nasihat untuk memastikan kelancaran operasi secara sah.
Terdahulu, 80 murid di sekolah berkenaan tidak dapat menduduki UPKK 2025 apabila mereka tidak didaftarkan sebagai calon peperiksaan itu.
