KUALA LUMPUR: Pameran Fabrik ASEAN: Keabadian Tenunan menampilkan 105 koleksi tekstil tradisional, bahan tenunan, alat tenun dan busana masyarakat serantau bermula 20 Oktober lalu sehingga 30 Disember tahun ini di Galeri 2, Muzium Negara di sini.
Pameran anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia itu diadakan sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata pameran itu bukan sekadar mempamerkan keindahan seni dan kehalusan pertukangan tetapi melambangkan diplomasi warisan budaya ASEAN.

“la menggambarkan bagaimana seni, sejarah, dan tradisi menjadi jambatan antara negara.
“Melalui fabrik, kita bukan sahaja menenun corak tetapi turut menenun kepercayaan, persahabatan dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Budaya, dalam bentuknya yang paling tulen, adalah diplomasi yang dizahirkan melalui keindahan dan persefahaman,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Pameran Fabrik ASEAN: Keabadian Tenunan di Dataran Muzium Negara di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Hadir sama ialah Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy, Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Kamarul Baharin A Kasim dan Pengarah Muzium Tekstil Negara, Tengku Intan Rahimah Tengku Mat Saman.
Koleksi-koleksi pameran berkenaan disusun dalam empat segmen utama yang membawa pengunjung menelusuri warisan tekstil ASEAN, proses pembuatan kain, keindahan motif, dan cabaran mengekalkan seni tenunan dalam dunia moden.
Pameran berkenaan merupakan kesinambungan daripada Simposium Fabrik ASEAN yang berlangsung di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia pada bulan Julai lalu.
Ia membuka ‘pintu’ kepada orang ramai bermula 20 Oktober sehingga 31 Disember tahun ini di Galeri 2, Muzium Negara secara percuma.
