
PUTRAJAYA: Kerajaan kini memperkenalkan skim kelayakan berperingkat di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) khusus untuk pemandu e-hailing, yang akan mula diaktifkan setiap pertengahan bulan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF), langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan berterusan bagi memastikan subsidi bersasar dilaksanakan dengan lebih adil, menyeluruh dan inklusif, selain membantu mengekalkan pendapatan pemandu e-hailing.
Menurut MOF, kelayakan maksimum bulanan bagi penerima BUDI95 akan ditentukan berdasarkan jumlah jarak perjalanan yang direkodkan.
“Bagi pemandu e-hailing yang memandu kurang daripada 2,000 kilometer, mereka layak menerima 300 liter seperti sedia ada.
“Pemandu yang memandu antara 2,000 hingga 5,000 kilometer pula menerima tambahan 300 liter menjadikan jumlah keseluruhan 600 liter. Manakala, mereka yang melebihi 8,000 kilometer layak memperoleh 800 liter sebulan iaitu tambahan 500 liter,” katanya.
Dalam pada itu, MOF menjelaskan jarak perjalanan seseorang pemandu e-hailing akan dikira berdasarkan jumlah data perjalanan yang direkodkan oleh semua Syarikat Pengendali E-Hailing (EHO), dan urusan tersebut akan dikendalikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak.
“Sebagai contoh, Encik Danial memandu 1,500 kilometer dengan EHO A dan 600 kilometer dengan EHO B, maka jumlah jarak perjalanan adalah sebanyak 2,100 kilometer. Encik Danial layak menerima tambahan kelayakan BUDI95 sebanyak 300 liter,” kata kementerian itu.
MoF turut menegaskan setiap EHO bertanggungjawab mengemukakan rekod perjalanan bulanan pemandu e-hailing secara tepat, sahih dan lengkap kepada APAD serta LPKP Sabah dan Sarawak pada setiap awal bulan.






