KUALA LUMPUR: Insiden keganasan terhadap orang awam di Myanmar menurun sejak Malaysia mengambil alih Pengerusi ASEAN, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Katanya, perkembangan itu menunjukkan usaha berterusan ASEAN, termasuk pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) serta rundingan damai antara pihak bertelagah, mula menampakkan hasil walaupun pelaksanaannya masih berdepan pelbagai cabaran.
“Sejak Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, serangan terhadap orang awam di Myanmar telah banyak berkurangan.
“Kalau dahulu sekitar 100 insiden, kini tinggal kira-kira 20 peratus sahaja,” katanya menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN–Sik) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamad berkata, semasa rundingan antara ASEAN dan pihak bertelagah di Myanmar, Malaysia memainkan peranan sebagai fasilitator bagi menggalakkan dialog serta menyampaikan pandangan semua pihak kepada kerajaan Myanmar.
Namun, beliau menjelaskan situasi di Myanmar masih kompleks dan sensitif kerana konflik yang berlaku melibatkan banyak kumpulan etnik dan kepentingan politik berbeza, menjadikan proses perdamaian memerlukan masa dan pendekatan berhati-hati.
Menjawab soalan tambahan Wong Chen (PH–Subang) mengenai pelaksanaan pilihan raya di Myanmar, Mohamad menegaskan pendirian Malaysia bahawa sebarang pilihan raya mesti dijalankan secara telus, adil dan inklusif, sejajar dengan keputusan ASEAN.
“Selagi pilihan raya itu tidak memenuhi hasrat ASEAN iaitu adil, telus dan inklusif maka sukar bagi ASEAN untuk mengiktirafnya,” katanya.
Menjawab pertanyaan asal Wong mengenai bantuan kepada pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh, Mohamad memaklumkan pihak berkuasa Myanmar kini melaksanakan proses pemutihan dokumen bagi membolehkan kepulangan pelarian apabila keadaan di negara itu kembali stabil.
