KUALA LUMPUR: Penyanyi rap kontroversi tanah air, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee bakal ditahan polis dalam masa terdekat selepas disahkan sebagai individu terakhir bersama seorang pempengaruh wanita Taiwan yang ditemui mati di sebuah hotel mewah di ibu negara, 22 Oktober lalu.
Mangsa, Hsien Yun Hsin, 31, kali terakhir dilihat bersama Namewee di sebuah bilik di Hotel Banyan Tree, Jalan Conlay, pukul 1.40 tengah hari sebelum artis itu ditahan bagi kesalahan memiliki dan menggunakan dadah.
Namun, Namewee dibebaskan selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut di Mahkamah Jalan Duta pada 24 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pada peringkat awal kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun hasil siasatan lanjut mendapati terdapat unsur mencurigakan, menyebabkan ia kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
“Siasatan masih dijalankan dari semua sudut termasuk individu terakhir bersama mangsa.
“Kita akan teliti semula semua pergerakan mangsa dan individu tersebut bagi menentukan sama ada dia (Namewee) mempunyai kaitan dengan kematian itu atau sebaliknya,” katanya.
Fadil berkata, polis sudah merakam keterangan kakitangan hotel dan pengawal keselamatan, selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) termasuk pergerakan mangsa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) ke hotel berkenaan.
“Ketika ini, kita masih menunggu laporan penuh bedah siasat dan toksikologi daripada pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mengenal pasti punca sebenar kematian,” jelasnya.
Menurut beliau, mangsa tiba di Malaysia pada 20 Oktober dan dijadual pulang ke Taiwan pada 24 Oktober, namun ditemui tidak bernyawa dua hari sebelum tarikh pulangnya.
Pada 22 Oktober lalu, mangsa ditemukan terbaring dalam tab mandi di bilik penginapannya sebelum mayat dibawa ke HKL untuk dibedah siasat.
Fadil turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes berkenaan supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
