KUALA LUMPUR: Kerajaan merujuk Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan pandangan berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan ia mematuhi Perlembagaan Persekutuan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, langkah itu penting bagi memastikan setiap peruntukan dalam perjanjian tersebut tidak bercanggah dengan semangat dan prinsip undang-undang negara.
“AGC telah meneliti perjanjian itu secara menyeluruh dan mengeluarkan kenyataan rasmi baru-baru ini. Jadi, janganlah kita menuduh kenyataan tersebut bermotifkan politik,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Takiyuddin Hassan (PN–Kota Bharu) di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri memaklumkan Jemaah Menteri turut membuat beberapa semakan semula keputusan berdasarkan pandangan yang dikemukakan oleh AGC.
Kenyataan itu hadir susulan jaminan AGC semalam mengenai kedaulatan dan kepentingan negara kekal terpelihara dalam pelaksanaan perjanjian berkenaan.
Menurut AGC, perjanjian tersebut membolehkan Malaysia dan AS berunding secara berhemah sebelum sebarang tindakan diambil oleh mana-mana pihak.
Kerajaan Malaysia juga mempunyai hak menamatkan perjanjian itu pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis tanpa perlu mendapatkan persetujuan Washington.
Perkara ini, jelas AGC, menjadi bukti kedaulatan negara tetap terjamin dan kepentingan nasional sentiasa diutamakan.
Anwar turut menjelaskan kenyataan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, yang sebelum ini berkata Malaysia ‘tiada pilihan’ selain berunding dengan AS mengenai perjanjian tersebut.
Anwar berkata, kenyataan itu perlu difahami dalam konteks hubungan ekonomi tidak seimbang antara kedua-dua negara.
“Saya sendiri pernah membangkitkan perkara berkaitan tarif timbal balik 19 peratus terhadap barangan Malaysia kepada Presiden Donald Trump. Saya nyatakan rasa tidak puas hati kerana kadar itu sepatutnya dikurangkan,” ujarnya.
Tambah Anwar, mungkin kenyataan Liew itu tidak diungkapkan dengan sepenuhnya tepat, namun maksud yang ingin disampaikan adalah benar berdasarkan situasi semasa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, tuduhan Malaysia menyerahkan kedaulatan kepada AS menerusi perjanjian itu adalah tidak berasas.
Katanya, Malaysia sentiasa mengamalkan pendekatan timbal balik dalam semua rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan mana-mana negara.
“Kalau betul dakwaan kita menjadi boneka AS, sudah tentu kita tidak akan menandatangani FTA ASEAN Plus China yang dinaik taraf pada 28 Oktober lalu,” katanya.
