
KUALA LUMPUR : Selangor FC menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan penjelasan rasmi berhubung kualiti pengadilan ketika aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC, Sabtu lalu.
Menerusi kenyataan rasmi, Selangor FC memandang serius beberapa insiden perlawanan yang kini tular di media sosial selain mengambil kira tekanan serta tuntutan daripada penyokong dan pemegang taruh bola sepak Selangor yang mahukan penjelasan segera.
Menurut kenyataan berkenaan, pihak kelab telah menjalankan penilaian dalaman secara menyeluruh terhadap situasi yang berlaku sebelum mengemukakan permohonan rasmi kepada badan induk bola sepak negara melalui saluran telah ditetapkan.
“Untuk makluman penyokong, pihak kelab sentiasa menggunakan saluran rasmi yang diperuntukkan oleh pihak FAM bagi memohon penjelasan berkenaan keputusan-keputusan pengadil dalam perlawanan terdahulu.
“Justeru, pihak kelab telah memohon penjelasan daripada pihak FAM mengenai beberapa keputusan pengadil khususnya membabitkan dua jaringan gol yang dibatalkan dalam perlawanan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Selangor FC turut menaruh kepercayaan FAM akan memandang serius isu berkenaan dan melakukan penilaian semula terhadap keputusan yang dibuat oleh pegawai perlawanan.
Tegas kenyataan itu lagi, tindakan bersesuaian wajar diambil sekiranya FAM mendapati wujud sebarang kesilapan dalam pengadilan aksi suku akhir berkenaan.
“Selangor FC berharap agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan terus menghormati proses yang disediakan oleh pihak FAM berkenaan dengan perkara ini,” ujar kenyataan itu lagi.







