KUALA LUMPUR: Selangor mencatat kutipan hasil tertinggi dalam sejarah mencecah RM3 bilion pada tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari. berkata, ia merupakan antara pencapaian penting Selangor sepanjang tahun lalu sekali gus membuktikan iltizam kerajaan negeri untuk mengurus negeri dengan berhemah, stabil dan berpaksikan manfaat kepada rakyat.
“Selain itu, pencapaian di Selangor sepanjang tahun lalu juga termasuk tiada henti tugas bekalan air akibat pencemaran hasil pemantauan, penguatkuasaan dan tindakan pantas yang berterusan.
“Ketiga, Selangor kekal sebagai negeri dengan nilai ekonomi serta sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri Selangor berterima kasih kepada penjawat awam, agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan serta seluruh rakyat Selangor yang bersama menjayakan usaha di negeri itu.
“Insya-Allah, kita akan terus bekerja untuk memperkukuh ekonomi, memastikan perkhidmatan asas terjamin, dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
