KUALA LUMPUR: Penyertaan Kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) 2025 anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. meraih sambutan luar biasa apabila lebih 11,000 pelanggan mengambil bahagian di seluruh negara.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, karnival berkenaan bertujuan memperkenalkan lebih banyak pakej umrah dan pelancongan Andalusia serta mendekatkan syarikat itu dengan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, pemilihan pemenang dibuat secara inklusif dengan memastikan wakil dari setiap negeri menerima hadiah.
“Matlamat utama kami adalah supaya jenama Andalusia diterima di seluruh pelusuk Malaysia dan memberi peluang kepada seramai mungkin rakyat merasai kegembiraan bersama Andalusia,” katanya kepada pemberita pada acara JIMBA Finale 2025 di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin.
Ida Riswana berkata, kempen JIMBA merupakan program tempoh jangka panjang selama 10 tahun yang dilancarkan pada 2025 dan dijadualkan berlangsung sehingga 2035.
Beliau turut menjangkakan hadiah-hadiah yang bakal ditawarkan akan menjadi lebih menarik dan bernilai tinggi pada setiap edisi JIMBA kelak.
Tambahnya, Andalusia telah melaksanakan sebanyak 52 cabutan bertuah sepanjang 52 minggu melibatkan cawangan berbeza di seluruh negara, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menghargai pelanggan.

Sementara itu, seorang pelanggan bertuah Andalusia, Rakiah Sulaiman, muncul sebagai pemenang utama kempen JIMBA dengan membawa pulang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik BYD Sealion 7 bernilai RM171,585.
Penyampaian hadiah diserahkan kepada anaknya, Nur Liyana Othman, selepas sesi cabutan undian pemenang JIMBA yang turut disiarkan secara langsung dalam talian.

Seramai 10 pemenang memenangi pakej percutian ke Hatyai, Thailand, manakala dua lagi pemenang menerima pakej umrah ziarah Turkiye.
Selain itu, 15 pemenang lain turut membawa pulang pakej umrah bernilai RM5,990 setiap seorang.
