KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) bakal menyediakan perkhidmatan kiosk layan diri bagi memudahkan pelanggan melakukan urusan tempahan pakej umrah dan pelancongan tanpa perlu hadir ke pejabat syarikat itu.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undangnya, Ida Riswana Idris berkata, kiosk itu akan diperkenalkan bermula Mac ini secara berfasa di lokasi-lokasi strategik dengan fasa pertama menyasarkan kawasan sekitar Lembah Klang termasuk ibu pejabat Andalusia.
“Pelanggan boleh menggunakan kiosk untuk membuat pembayaran, mengurus tempahan pelancongan dan umrah serta pelbagai urusan lain.
“Ia sekali gus memberikan pengalaman lebih interaktif dan memuaskan berbanding transaksi secara digital sahaja.
“Setakat ini, enam unit kiosk sedang diuji di ibu pejabat Andalusia sebelum diperluas ke lokasi-lokasi strategik seperti pejabat kerajaan dan tempat awam lain,” katanya kepada pemberita pada acara JIMBA Finale 2025 di sini, malam tadi.
Hadir sama pada acara berkenaan ialah Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin.
Menurut Ida Riswana, pengenalan inisiatif itu dijangka meningkatkan capaian perkhidmatan syarikat dan memudahkan urusan rakyat di seluruh negara.
Terdahulu pada majlis itu, Andalusia melancarkan Majalah AndalusiaKu 1448H, tawaran eksklusif jualan akhir tahun serta mengadakan Cabutan Bonanza JIMBA dengan hadiah utama sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) BYD Sealion 7 bernilai RM171,585, termasuk pakej umrah dan pelancongan kepada pelanggan bertuah.
