
PUTRAJAYA: Kerajaan belum membuat keputusan sama ada mahu mengekstradisi pembantu juruterbang yang melarikan diri bersama sejumlah dadah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jakarta, Indonesia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sebarang tindakan lanjut berhubung kes itu hanya akan ditentukan selepas siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman selesai.
Katanya, JSJN kini mendapatkan maklumat daripada suspek bagi mengenal pasti keseluruhan fakta kes, termasuk kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah terancang.
“Kita perlu ‘establish’ semua fakta kes ini terlebih dahulu sebelum menentukan hala tuju seterusnya.
“Hakikatnya, dia ditahan di Indonesia dan tertakluk kepada undang-undang negara terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di sini, hari ini.
Sebelum ini, pembantu juruterbang berkenaan dilaporkan melarikan diri selepas dipercayai terlibat dalam kes membawa sejumlah dadah melalui KLIA sebelum ditahan pihak berkuasa Indonesia.
Saifuddin berkata, siasatan lanjut perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi memastikan tindakan yang bakal diambil kerajaan berdasarkan fakta serta perkembangan kes.
Beliau turut menegaskan kedudukan suspek yang kini ditahan di Indonesia menyebabkan sebarang tindakan terhadapnya perlu mengambil kira undang-undang serta bidang kuasa negara berkenaan.







