
KUALA LUMPUR: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 akan bermula pada 26 Oktober hingga 1 Disember ini, membabitkan 420,879 calon di seluruh negara.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, ujian bertutur Bahasa Melayu akan berlangsung dari 26 hingga 29 Oktober, diikuti ujian bertutur Bahasa Inggeris pada 2 hingga 5 November.
Katanya, ujian Amali Sains pula dijadualkan pada 16 hingga 18 November, manakala peperiksaan bertulis akan berlangsung mulai 23 November.
“Ujian mendengar Bahasa Melayu akan diadakan pada 30 November, manakala ujian mendengar Bahasa Inggeris pula pada 1 Disember,” menurut kenyataan itu.
Menurut KPM, seramai 420,879 calon sudah mendaftar untuk menduduki SPM 2026 di 3,334 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Kementerian berkata, Lembaga Peperiksaan akan mengumumkan jadual waktu peperiksaan SPM 2026 yang lengkap dalam masa terdekat.
“KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM Tahun 2026 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur,” katanya.







