
KANGAR: Rakyat Malaysia yang berada atau merancang perjalanan ke Pattani, Yala dan Narathiwat dinasihatkan meningkatkan kewaspadaan serta mempertimbangkan semula perjalanan tidak penting susulan siri serangan keselamatan di tiga wilayah berkenaan.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, langkah itu penting terutama bagi mereka yang merancang untuk mengunjungi kawasan yang terjejas akibat insiden keselamatan baru-baru ini.
“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya mengelakkan kawasan yang berlaku insiden keselamatan, demonstrasi atau perhimpunan besar serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa Thailand termasuk berkaitan sebarang perintah berkurung, penutupan jalan raya dan pemeriksaan keselamatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Kayuhan Malaysia Merdeka 2026 di sekitar Mukim Ko Taeo, Songkhla yang diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Ahmad Fahmi turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengelakkan perjalanan pada waktu malam di kawasan terjejas, selain sentiasa mengikuti pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa dan memaklumkan jadual perjalanan kepada ahli keluarga terdekat.
Media sebelum ini melaporkan Narathiwat dikenakan perintah berkurung dari jam 10.15 malam pada 22 Ogos hingga 5 pagi pada 23 Ogos susulan lebih 50 kejadian dilaporkan berlaku di Pattani, Yala dan Narathiwat, termasuk pengeboman, pembakaran pejabat kerajaan tempatan dan pembakaran tayar.
Ahmad Fahmi turut menasihatkan rakyat Malaysia yang memasuki Thailand menggunakan kenderaan sendiri supaya membawa lesen memandu asal Malaysia dalam bentuk fizikal dan tidak bergantung sepenuhnya kepada lesen digital menerusi aplikasi MyJPJ.
Katanya, dokumen penting seperti pendaftaran kenderaan, insurans dan dokumen berkaitan hendaklah dibawa sepanjang perjalanan bagi memudahkan pemeriksaan oleh pihak berkuasa Thailand.
“Rakyat Malaysia yang memandu atau menunggang kenderaan di Thailand juga diingatkan supaya sentiasa memakai tali pinggang atau topi keledar serta mematuhi semua peraturan lalu lintas yang ditetapkan pihak berkuasa Thailand,” katanya.
Ahmad Fahmi berkata, pihak berkuasa Thailand kini meningkatkan penguatkuasaan peraturan lalu lintas termasuk terhadap kenderaan dari Malaysia, dengan beberapa pemandu rakyat Malaysia dilaporkan telah dikenakan saman atas kesalahan dokumentasi dan lalu lintas.




