
IPOH: Kesatuan ummah kini semakin berdepan cabaran besar apabila perbezaan politik, mazhab, bangsa dan kepentingan tertentu semakin mengatasi semangat persaudaraan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Sehubungan itu, baginda menyeru pemimpin serta badan dan gerakan yang bergerak atas nama Islam supaya mengurangkan persengketaan dan meminimumkan amalan berpolitik demi memperkukuh perpaduan ummah.
Sebaliknya, titah baginda, tumpuan perlu diberikan kepada usaha yang mampu menggemilangkan identiti ummah termasuk memperluas kesedaran dalam pendidikan Islam, ekonomi dan kewangan Islam, industri halal, wakaf, dakwah digital serta pengukuhan institusi keluarga.
“Kesatuan ummah semakin menghadapi cabaran besar. Perbezaan politik, mazhab, bangsa, kepentingan di samping tarikan kepada pengaruh, pangkat, jawatan, harta dan kemewahan dunia, semakin mengatasi semangat persaudaraan yang mengakibatkan konsep ukhuwah semakin dipinggir,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1448H peringkat negeri Perak yang mengangkat tema ‘Membina Jati Diri Muslim – Memperkukuh Identiti Ummah’, di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, jati diri Muslim dan identiti ummah turut berdepan pengaruh global yang perlu ditangani secara serius supaya arus kemodenan tidak menghakis prinsip serta identiti Muslim.
Menurut baginda, jati diri tidak terbina dalam sehari, sebaliknya bermula dengan akidah yang teguh, dibentuk melalui ilmu, dihiasi akhlak dan dibuktikan menerusi amal.
“Jati diri tidak lahir semata-mata melalui pakaian, slogan atau penampilan diri, sebaliknya lahir apabila seseorang mempunyai prinsip yang tidak mudah dijual, iman yang tidak mudah digugat dan akhlak yang tidak berubah mengikut kepentingan,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik dalam membina jati diri, khususnya dari segi ketegasan pada prinsip, kesantunan, keberanian, sifat ihsan, kesederhanaan dan tawaduk.
Baginda turut menyeru umat Islam mengamalkan sikap terbuka ketika berdepan perbezaan pandangan, memilih persaudaraan berbanding sengketa serta mengutamakan integriti dan tanggungjawab.
Menurut Sultan Nazrin, sifat sabar ketika dihina, tidak berdendam ketika berjawatan, adil ketika berkuasa dan amanah ketika diberi tanggungjawab wajar dijadikan teladan bagi menghindari penyelewengan, pecah amanah, salah guna kuasa dan penindasan.





