
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad menegaskan beliau akan menjadi individu pertama membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya terbukti berlaku kecurian secara langsung dalam Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang tempoh yang disiasat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Madinah berkata, beliau tidak pernah menemui bukti yang menunjukkan wujud unsur kecurian dalam TH ketika mengetuai Jabatan Audit Negara (JAN), termasuk ketika Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 disediakan bersama pasukannya.
Katanya, sekiranya beliau dipanggil memberi keterangan dalam prosiding RCI berkenaan, dapatan siasatan berkemungkinan dapat dilihat dari sudut berbeza berdasarkan penjelasan dan fakta yang dimilikinya.
“Saya tidak nampak apa-apa bukti sedemikian (unsur kecurian dalam TH) ketika masih bergelar Ketua Audit Negara sebelum ini.
“Yakinlah, saya bukan sahaja tidak menyembunyikannya, malah akan memberi tumpuan dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika saya dan pasukan menemui bukti berlaku kecurian dalam TH,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Forum Musyawarah Nasional 2.0 – Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan TH, di sini hari ini.
Madinah berkata, proses pengauditan dilaksanakan berdasarkan piawaian serta fakta dan bukti sebelum sesuatu penyata atau sijil audit dikeluarkan.
“Pengauditan dibuat mengikut piawaian, berdasarkan bukti pengauditan sebelum penyata atau sijil dikeluarkan. Kami ikut fakta dan bukti, selain berpijak di bumi nyata,” katanya.
Laporan RCI TH setebal 211 halaman dilaporkan menyentuh isu ketidaktegasan Ketua Audit Negara (KAN), termasuk berkaitan Penyata Kewangan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017 yang diberikan Sijil Audit Bersih.
Laporan itu turut menyatakan audit bagi tahun kewangan 2017 mengandungi perkara Emphasis of Matter (EOM).
Madinah yang memegang jawatan Ketua Audit Negara dari 2017 hingga 2019 sebelum ini turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak dipanggil memberi keterangan dalam prosiding RCI berhubung TH, walaupun beliau sudah hadir ke lokasi yang ditetapkan.
Katanya, beliau berada di pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada hari dan waktu yang ditetapkan bagi memberi keterangan, namun selepas menunggu lebih 30 minit, namanya tidak dipanggil.
“Saya sudah pergi ke sana pada hari dan masa ditetapkan di Jakim. Saya menunggu lebih daripada 30 minit tetapi terkilan, akhirnya tidak dipanggil.
“Hak saya untuk didengari dinafikan apabila tidak dipanggil dalam prosiding itu walaupun sudah hadir dan menunggu di situ,” katanya.






