
SEREMBAN: Pendakwah bebas dan pempengaruh media sosial, Abdullah Abdol Razak, 40, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Lah, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 34 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah lebih RM13 juta.
Selain itu, beliau turut berdepan 17 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram melibatkan keseluruhan RM1.56 juta.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.
Bagi pertuduhan pecah amanah, Abdullah didakwa menyalahgunakan harta berkenaan secara tidak jujur dengan melanggar Fasal 10 Perlembagaan Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia (PRIM), yang menetapkan tatacara pengurusan amanah tersebut.
Beliau didakwa meluluskan pembayaran wang berkenaan ke beberapa akaun bank, termasuk akaun miliknya sendiri, tanpa mendapat kelulusan Mesyuarat Agung PRIM.
Kesalahan berkenaan didakwa berlaku antara 28 Februari 2023 hingga 31 Mac 2026 di sebuah bank di daerah ini.
Abdullah didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, beliau turut menghadapi 17 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.56 juta daripada beberapa akaun bank, termasuk akaun miliknya, ke akaun lain bagi tujuan pembayaran pembelian emas.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 18 Mei 2024 hingga 24 Februari 2026 di lokasi yang sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Dalam prosiding yang sama, Setiausaha PRIM, Noor Sahira Abdullah, 30, turut didakwa bersubahat dengan Abdullah melakukan pecah amanah jenayah membabitkan harta milik PRIM.
Mahkamah kemudian menetapkan 28 September depan untuk sebutan semula kes.




