
KUALA LUMPUR: Tiga lelaki termasuk seorang yang dipercayai menjadi ‘joki’ perlumbaan motosikal haram di Lebuhraya Linkedua, Johor ditahan di sebuah kondominium di Sentul, di sini, awal pagi tadi.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan pukul 1.30 pagi selepas dipercayai mempunyai kaitan dengan video perlumbaan motosikal haram yang tular pada 22 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, tangkapan dilakukan Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman susulan penularan video berkenaan.
Menurutnya, kesemua suspek cuba melarikan diri ketika polis menjalankan operasi tangkapan, namun berjaya ditahan.
“Daripada tiga tangkapan itu, seorang dipercayai terlibat sebagai penunggang motosikal perlumbaan atau joki, manakala dua lagi adalah penonton,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua suspek kemudiannya dibawa ke Balai Trafik Kulai, Johor untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 81(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muhammed Hasbullah berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan perlumbaan haram.
Katanya, kegiatan berkenaan bukan sahaja membahayakan nyawa peserta, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Sebelum ini, video berdurasi 33 saat memaparkan aksi dua penunggang motosikal berlumba secara haram di Lebuhraya Linkedua, Johor tular di media sosial.
Perlumbaan itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 7 pagi dari Kilometer 33, Susur Tol Senai hingga Kilometer 31, Susur Johor Premium Outlet (JPO).
Lebih membimbangkan, rakaman berkenaan turut memaparkan beberapa individu dipercayai ‘menutup’ laluan lebuh raya bagi memberi ruang kepada perlumbaan berlangsung.
Selepas perlumbaan tamat, suspek turut dilihat membakar mercun sebagai tanda meraikan kejayaan, manakala beberapa individu termasuk seorang pempengaruh permotoran berada di bahu jalan.
Terdahulu, pada 23 Ogos lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad memaklumkan lapan lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 45 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu ditahan pada pukul 11.54 pagi.
Kelmarin, kesemua tangkapan termasuk seorang pempengaruh permotoran direman selama empat hari oleh Mahkamah Kulai bagi membantu siasatan lanjut.




