
ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor secara berseloroh menjemput Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh untuk menyampaikan ceramah kepada umat Islam di Kedah supaya menjauhi kegiatan perjudian.
Pelawaan itu dibuat susulan kenyataan Ramkarpal yang meminta kerajaan negeri Kedah akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan kebenaran merayu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan dasar tidak memperbaharui lesen perniagaan perjudian.
Muhammad Sanusi berkata, usaha kerajaan negeri untuk menghalang kegiatan perjudian di Kedah bagaimanapun tidak akan terhenti setakat keputusan mahkamah berkenaan, sebaliknya akan diteruskan menerusi saluran undang-undang lain.
“Dalam hal yang kita bincangkan malam ini (isu perjudian di Kedah), tidaklah boleh diletakkan noktah kerana Mahkamah Persekutuan menolak kebenaran untuk kita merayu.
“Ada orang bagi peringatan kepada kita dari DAP agar jangan cari jalan (halang perjudian), dia kata akur sahaja kepada keputusan dan dia kata fokus kepada orang Islam yang berjudi.
“Satu daripada yang Ramkarpal kata ialah dakwah kepada orang Islam jangan main judi. Saya kata betul juga, lepas ini kita panggil dia bagi ceramah, DAP bagi ceramah kepada orang Islam jangan main judi,” katanya ketika berucap pada Program Penjelasan Isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini semalam.
Muhammad Sanusi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada aktiviti perjudian dibenarkan atau dihalang di Kedah.
Katanya, kelulusan lesen perjudian kini terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan (MOF).
“Sekarang bola sudah tertendang kepada MOF (Kementerian Kewangan), mereka yang akan tentukan tendang jaring gol atau (masuk) gol sendiri.
“Kelulusan lesen judi kini terletak di Menteri Kewangan. Menteri Kewangan yang bertanggungjawab tidak meluluskan lesen judi di Kedah,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakan kerajaan negeri menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan di negeri itu.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin turut memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000.




