
IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak terus memantau seekor gajah liar jantan dewasa yang berkeliaran di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik sejak 17 Ogos lalu.
Gajah berkenaan yang mengalami kecederaan pada kaki hadapan sebelah kanan kini digiring secara berperingkat kembali ke kawasan hutan bagi memastikan keselamatan haiwan berkenaan dan pengguna jalan raya.
Perhilitan Perak dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemantauan mendapati keadaan gajah itu masih baik dengan tingkah lakunya normal selain mampu bergerak seperti biasa.
Menurutnya, luka pada kaki gajah berkenaan juga semakin kering dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
“Pihak kami sudah mengambil tindakan menggiring gajah berkenaan kembali ke kawasan hutan serta melaksanakan pemantauan terhadap keadaannya.
“Memandangkan gajah berkenaan masih kembali ke kawasan jalan raya, pemantauan dan tindakan menggiring akan diteruskan setiap hari sebanyak dua kali, iaitu pada waktu siang dan malam,” menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi agensi itu hari ini.
Sebelum ini, beberapa video gajah berkenaan yang dipercayai dikenali sebagai Sulong Chalil tular di media sosial selepas dirakam orang awam ketika haiwan itu berjalan di bahu JRTB.
Gajah berkenaan dipercayai berasal dari Chalil, Gua Musang sebelum dipindahkan ke kawasan hutan di Gerik menerusi operasi translokasi Perhilitan.
Namun, haiwan berkenaan dipercayai bergerak semula menuju kawasan asalnya melalui laluan JRTB.
Perhilitan Perak turut memperkukuh kesiapsiagaan anggotanya di lapangan selain mendapatkan penilaian doktor veterinar bagi menentukan keadaan fizikal dan tahap kecederaan gajah terbabit.
Penilaian itu turut bertujuan menentukan keperluan tindakan susulan terhadap haiwan berkenaan.
Perhilitan turut menasihatkan pengguna JRTB, khususnya di sekitar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa supaya memperlahankan kenderaan dalam lingkungan lima kilometer sebelum tiba di hentian berkenaan dari kedua-dua arah.
Langkah itu penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini sekiranya gajah berkenaan berada berhampiran laluan berkenaan.
“Pengguna hendaklah sentiasa mematuhi arahan anggota penguat kuasa dan petugas Perhilitan sekiranya berada di kawasan pemantauan serta tidak mengambil gambar atau merakam video gajah kerana tindakan itu boleh menyebabkan kenderaan berhenti dan mengganggu kelancaran aliran trafik.
“Sekiranya berdepan hidupan liar termasuk gajah, pengguna jalan raya perlu peka dengan tidak berhenti atau keluar daripada kenderaan jika hidupan liar berada di bahu jalan dan tidak menunjukkan tingkah laku agresif atau melakukan sebarang provokasi,” menurut kenyataan itu.




