
AYER KEROH: Sikap keterbukaan ibu bapa menjadi pemangkin kepada kebangkitan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bilangan pelajar yang memohon untuk mempelajari bidang TVET semakin meningkat sekali gus membuktikan iltizam kerajaan dalam memartabatkan TVET ke peringkat tertinggi berjaya mencapai sasaran.
“Terima kasih kepada ibu bapa yang mula (menunjukkan) sikap dengan mengutamakan TVET sebagai kerjaya pilihan anak mereka.
“Selepas ini, kita perlu mencari pendekatan baharu untuk mengubah pemikiran pelajar TVET agar mereka dapat meneroka bidang teknousahawan pula dengan sokongan yang diberikan oleh pihak Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau yang merupakan Pengerusi Majlis TVET Negara menambah, jumlah kebolehpasaran kerja graduan dan penuntut TVET menunjukkan peningkatan sebanyak 95.1 peratus.
Katanya, seramai 140,027 pemohon sudah memohon untuk kemasukan pada Julai depan.
“Kebolehpasaran kerja TVET juga menunjukkan peningkatan dan antara tertinggi adalah dalam kalangan graduan MARA yang mencatat peratusan sebanyak 98 peratus,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zahid berkata, sehingga kini, institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjaya melahirkan 50 jutawan.
Ujarnya, antara paling berjaya ialah usahawan yang mengeluarkan bateri dan motosikal jenama Bateriku.com.
Kerajaan menyasarkan seramai 150,000 pengunjung akan membanjiri MITC sempena Sambutan Hari TVET Negara 2025, bermula semalam.
Sehingga jam 8 malam semalam, penganjuran sambutan itu sudah menerima seramai 41,830 pengunjung dan dijangka meningkat pada Jumaat ini.




